Isi Kandungan
Pengenalan
Lesen memandu adalah wajib bagi mereka yang ingin memandu secara sah kerana ia adalah bukti anda telah lulus ujian memandu dengan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Oleh itu, berikut adalah beberapa langkah bagi memudahkan proses anda mendapatkan lesen memandu.
Langkah-Langkah Mendapatkan Lesen Memandu
Pendaftaran Lesen Memandu
Pendaftaran boleh dilakukan sama ada melalui agen atau terus ke Institut Memandu pilihan. Setiap individu perlu melepasi had umur minimum yang ditetapkan bergantung pada jenis lesen dan kenderaan yang ingin dipandu seperti berikut:
- 16 tahun dan ke atas – Lesen memandu (motosikal) kelas A, B2, B penuh atau C;
- 17 tahun dan ke atas – Lesen memandu (kereta) kelas D atau DA;
- 21 tahun dan ke atas – Lesen memandu kelas E hingga kelas I (memiliki lesen CDL yang sah).
Diwajibkan membuat pembayaran pertama untuk ke Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP).
KPP 01 (Kursus Penilaian Pemandu)
Kursus KPP 01 akan diadakan selama 6 jam dan biasanya dilakukan pada hujung minggu. Calon disarankan untuk berpakaian kemas dan sopan semasa mengikuti kursus ini.
Lelaki harus memakai T-shirt berkolar, berseluar panjang dan kasut bertutup. Anda dilarang memakai topi dan pakaian tanpa lengan.
Bagi wanita pula, anda dikehendaki memakai T-shirt berkolar dan kasut bertutup, manakala orang yang tidak bertudung dikehendaki memakai pakaian kemas. Dilarang memakai baju tanpa lengan dan skirt pendek.
Ujian Berkomputer
Setelah menghadiri kursus KPP 01, calon perlu menduduki ujian Teori Undang-Undang Komputer selama 45 minit. Markah lulus minimum untuk ujian ini ialah sebanyak 42/50. Bagi calon yang mengambil lesen D dan B2 sekali gus, markah lulus minimum adalah 59/70. Jika gagal, calon perlu menduduki ujian ulangan dan wang tambahan perlu disediakan. Sekiranya lulus, anda dikehendaki membawa slip ujian komputer ke Institut Memandu bagi pengurusan perolehan lesen L.
Peroleh Lesen LDL (Lesen L)
Anda akan memperoleh lesen LDL, juga dikenali sebagai lesen L, dalam tempoh satu hingga dua minggu. Lesen L mempunyai sah laku selama dua tahun dan mesti diperbaharui setiap tiga bulan.
KPP 02 ( Amali Di Litar)
Kursus ini merujuk kepada latihan praktikal di dalam litar selama lapan jam. Bagi mendapatkan lesen motosikal, calon akan menjalani latihan praktikal seperti membuat pusingan 8, laluan titi, halangan kon, dan brek kecemasan. Bagi lesen kereta pula, calon perlu menjalani latihan praktikal seperti menaiki bukit, side parking dan ujian tiga penjuru. Calon diwajibkan membuat bayaran kedua untuk menjalani latihan memandu KPP 02.
KPP 03 ( Belajar Memandu)
Setelah membuat latihan memandu di dalam kawasan litar, calon perlu menjalani latihan KPP 03 iaitu latihan di jalanraya. Calon diwajibkan membuat bayaran ketiga. Masa yang diberi adalah 8 jam untuk sesi latihan di jalanraya. Borang belajar memandu (SM4) akan dikeluarkan setelah calon tamat menjalani latihan KPP 02.
Ujian Penilaian (QTI)
Calon perlu menduduki praujian sebelum menjalani Ujian Praktikal JPJ. Ujian ini akan dikendalikan oleh jurulatih bertauliah di Institut Memandu. Jika lulus, calon akan dibenarkan untuk menduduki Ujian Praktikal JPJ.
Ujian Praktikal JPJ
Calon yang lulus Ujian QTI akan menduduki Ujian Praktikal JPJ pada hari yang ditetapkan mengikut kekosongan Institut Memandu. Calon yang lulus Ujian Praktikal JPJ atau Ujian Memandu JPJ akan layak mendapat lesen memandu P. Manakala, calon yang gagal perlu menduduki semula ujian ulangan.
Peroleh Lesen PDL (Lesen P)
Lesen P ini memerlukan 1 hingga 7 hari bekerja untuk disiapkan. Anda hanya boleh memandu di jalan raya selepas mendapatkan lesen ini.
Rumusan
Semoga perkongsian ini dapat memudahkan anda bagi mendapatkan lesen memandu. Bagi anda yang telah tamat tempoh lesen CDL dan berminat untuk memperbaharui lesen, bolehlah mengisi permohonan pembaharuan disini. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, boleh hubungi kami di info.lesen2u@gmail.com atau 011-37561394.
0 Comments